Tuesday, September 28, 2010

DSL218: Beraya bagai tak hengat..!!! (Babak Satu)

Seperti yang dijadualkan, 25 September 2010. Akhirnya dapat juga buat konvoi raya tahun ni. Walaupun tak semua penghuni/penduduk/penginap DSL218 yang dapat join, tapi program ni tetap berjalan dengan meriah dan happeningnye bak kata Lopez De Sequeira. Ingat senang ke beb nak kumpul semua orang, sebab ramai yang dah kerja sekarang ni, termasuklah aku. Ada yang kerja jaga ladang, ada yang kerja tolak troli, ada yang kerja menipu orang dengan jual insuran, ada yang kerja buat road tax tipu dan ada juga yang kerja jadi blogger sepenuh masa. Tapi, atas semangat DSL218 yang amat tinggi dan pada masa yang sama tak nak digelar TAYIK (Tak Ada Yang Ingat Kami), akhirnya berkumpulah panglima-panglima DSL218 dan panglima dari kampung sebelah DSL218. Ini cerita konvoi raya DSL218.. 

Tepat pukul 1.45 petang, aku bangun tido. Janji pukul 12.00 nak kumpul tapi pukul 1 lebih aku baru bangun, memang cantek... Aku tengok Nokia BalackCherry aku dah penuh dengan missed call dan SMS dari panglima-panglima DSL218 sekalian. Sepantas kilat sabung-menyabung dan sepantas Lakau bercakap, aku terus pergi mandi. Ikutkan hati aku, aku nak terus pergi je. Tapi bila fikir-fikir balik, macam tak nice la pulak kalau pergi beraya pakai boxer. Selesai je mandi, aku terus tunggang kuda merah aku tanpa bersarapan terlebih dahulu (sarapan kejadahnya kalau dah pukul 1).

Selepas mengharungi jalan berliku ditambah pula dengan jalan KL yang sesak dan hujan pula turun seperti taufan Katrina, akhirnya aku sampai di rumah Blanka tepat pukul 3.00 petang (agaknya la kot..). Sampai je rumah Blanka, aku terus memberi salam tanda meminta izin untuk memasuki rumah. Ramai yang dah ada masa tu (memang aku sorang yang lambat kot). Yang ada masa tu ialah Blanka "Pemburu Betik 1JZ" (konfem la ada sebab tu rumah dia), Butam "V-Tec Kecikkkk", Aswad "Seluar Lusuh", Lakau "Pencinta Persona", Jonet "MyEG R3", Bunek "SeSemenyih Mari", Bard "Bumper Promote", Roy "Bukan Azroy" dan juga Adat "Si Jali Jali". Semuanya segak berbaju melayu dan ada juga yang bersampin kecuali Lakau (yang berpakaian seperti vokalis ST12), Bunek (malas nak berbaju melayu katanya) dan juga Bard (sebab baju melayu gagal disiapkan). Tapi sayang, kehandsomeman mereka tercalar apabila mereka berpelakuan seperti ular yang sedang bersantai selepas membaham anak kambing Pak Abu “Pailang Cub Prix” (nampak sangat dah makan banyak masa nak tunggu aku). Perbualan memang sangat rancak di rumah Blanka. Antara yang menjadi menjadi bahan perbualan adalah isu tanah aweks. Lakau cuba mendapatkan perhatian yang setimpal dari ibunda Blanka dengan menyatakan Blanka sudah berpunya. Kelihatan sedikit kekesalan di raut wajah ibu Blanka kerana beliau sangat menginginkan menantu yang memilih perguruan sebagai kerjaya (cikgu la tu). Blanka pulak aku tengok hanya gelak-gelak manja macam Patrick dalam cerita Spongebob Squarepants. Tahniah diucapkan kepada Lakau yang berjaya menjadikan Blanka bahan di rumah sendiri. Aku pulak gelak je, malas nak masuk campur, makan lemang dua ketul dengan rendang lagi best.

Selesai rumah Blanka, kitorang semua bergerak ke rumah Adat dan Roy yang jauhnya hanyalah seteguk air sirap selasih dari rumah Blanka. Bukan niat mahu beraya ye kawan-kawan, tapi hanyalah sekadar persinggahan untuk menghisap rokok. Habis sebatang rokok, hisap lagi sebatang, habis lagi sebatang, tambah lagi sebatang. Semuanya gara-gara Blanka yang gagal menyediakan lokasi untuk menghisap rokok kat rumah dia. Hahaha… Habis rokok yang terakhir (aku tak ingat yang keberapa), kitorang semua (kecuali Adat) bergerak menuju ke rumah Aswad. Dengan menaiki 3 biji kereta yang sangat-sangat jarang dijumpai di Kepulauan Sumatera, kitorang bergerak ke rumah Aswad sambil menyanyikan lagu Selamat Hari Raya dendangan Saloma.

Selepas menjelajah jalan yang basah akibat hujan pada awalnya dan selepas penat menunggu Blanka puas tengok bumper kereta Ferrari F430 yang muncul entah dari mana, akhirnya kami sampai juga di rumah Aswad. Sampai je kat rumah Aswad, kitorang semua dikejutkan pula dengan kemunculan seorang gadis yang dikategorikan sebagai Gred 8 oleh Pertubuhan Pengredan Gadis-Gadis Malaya. Butam yang memang cepat bab-bab macam ni terus tanya kat Aswad berkaitan informasi gadis Gred 8 tersebut tanpa bertanya mana satu rumah Aswad terlebih dahulu.

“Wad, siapa tu?” tanya butam kepada Aswad.

“Entah la Tam, aku tak kenal pun.” jawab Aswad lemah sambil mata terus memandang awek tadi.

“Perghh.. Blah la, saving la ko.” jergah Butam selepas gagal mendapatkan info.

“Betul la, aku rasa awek ni datang beraya je ni.” balas Aswad cuba membela diri.

Perbualan pasal awek tu semakin rancak, bertambah rancak bila Blanka join sekaki. Memang macam haram la jawabnya. Perbualan diorang semua tadi cuma terhenti bila awek tadi hilang dari pandangan mata rakus diorang sambil membawa Viva hitamnya menyelusuri Jalan Asteroid (tak style la nama jalan ni). Sampai je kat rumah Aswad, semua duduk tanpa dipelawa terlebih dahulu. Baru duduk tak sampai 10 minit, Blanka dah bagi kitorang sesuatu ayat yang sangat best untuk di bahan.

“Tam, ada guli la. Jom main guli.” sambil jari menuding ke arah congkak yang diletakkan di depan TV.

“Haa..? Guli?” jawab Butam ringkas.

Tanpa membuang masa, panglima-panglima sekalian pun tak berlengah lagi. Terus bahan Blanka berbakul-bakul (bakul jenis buluh yang boleh di lihat di tempat-tempat menjual durian). Blanka dah tak mampu nak buat apa dah. Butam pulak aku tengok tak habis-habis tanya pasal awek tadi kat Aswad. 3 minit sekali, mesti tanya Aswad siapa awek tadi. Walaupun dia dah tahu dia mesti terima jawapan yang sama dari Aswad. Keadaan huru-hara cuma reda bila ayah Aswad menonjolkan diri. Kat rumah Aswad, kitorang semua dijamu dengan mihun goreng enak dan nugget ayam panas-panas yang semestinya menjadi perhatian panglima-panglima DSL218 sekalian (kat mana-mana open house, nugget akan menjadi sasaran utama). Sambil makan, kitorang berbual dengan ayah Aswad (takkan la nak makan sambil buat muka bodoh kot, ingat Bollywood Maju ke?). Perbualan tentang gadis kerja menjadi topik yang diusulkan oleh ayah Aswad untuk untuk dibicarakan. Aswad muka dah semak, sebab dia dah tahu memang konfem dia kena tembak balik jap lagi. Ternyata semua tu benar belaka. Dalam borak-borak tu ayah Aswad mengeluarkan ayat yang sangat-sangat best.

“Aswad ni, abang dia bagi duit suruh cari kerja. Yang peliknya, kerja tak dapat tapi duit habis.” kata ayah Aswad sambil menghisap rokok Peter Stuyvesant yang tidak diketahui mana datangnya oleh Aswad sendiri (sebab ayah Aswad hisap rokok brand lain).

Memang huru-hara balik la rumah tu bila semua sekali dah berdekah-dekah gelak. Aswad pulak cuma tengok dinding. Tak habis dengan tu, Lakau tambah lagi semburan berapi kat Aswad. Macam biasa, guna isu awek macam kat rumah Blanka. Aswad nampaknya sekali lagi tewas. Suasana rumah Aswad memang huru-hara, aku rasa kalau boleh mak dia memang nak halau kitorang balik dah. Kitorang kat rumah Aswad sampai pukul 4.00 lebih kalau tak silap aku. Selesai membaham makanan yang terhidang, kitorang semua mintak diri yang tak seberapa nilainya ni untuk mengangkat kaki dan bergerak ke rumah yang seterusnya.

Perjalanan kemudiannya diteruskan ke rumah Julat…

(Selesai Babak Satu…)

Baju Melayu yang penuh bermakna...

"Hari raya saya terasa kosong bila AWAK tiada di sisi saya."
terlampau banyak rahsia, terlampau banyak cerita, hanya kita berdua sahaja yang mengetahuinya

0 comments:

Related Posts with Thumbnails