Monday, May 23, 2011

Secebis kasih sayang...

Owh.. Rasa sangat-sangat-sangat lama aku tak menaip apa-apa untuk blog aku. Masa terluang aku hanya dihabiskan untuk berfacebook dan main game BURUNG MARAH kat lappy aku walaupun game tu aku main dah habis berulang-ulang kali. Sebab aku sangat suka bila dapat tengok binatang kaler hijau berhidung “oink-oink” tu mati kena himpap batu ala-ala STONE COLD STEVE AUSTIN STONHENGE dek gara-gara burung kaler Merah, Kuning, Biru dan Hitam punya angkara…

Disebabkan dah terlampau lama tak update blog aku yang macam rumah Kak Limah Kg. Pisang ni (silap-silap ada rangka kering amah indon kat dapur), aku sangat-sangat-sangat takde idea nak taip apa.. Tapi malam tadi masa dok menyerangai bilik aku yang “kemas” macam kapal Black Pearl Jack Sparrow tu, aku terjumpa satu barang baeekkk punyeee… Bukan seluar dalam Justin Bieber la oiii, tapi aku pun tak berapa nak tau sangat la mende ni apa sebenarnya.. Artikel ke? Novel ke? Cerpen ke? Gurindam ke? Puisi ke? Tapi yang aku tau ini adalah NUKILAN.. Hahahaha.. Bukan hasil kerja aku, kalau nukilan aku lebih kurang macam karya Prof. Madya A. Razak Mohaideen je. Tapi aku dapat benda ni masa aku kerja lama dulu. Time aku follow wat event-event motivasi cenggitu.

Kadang-kadang kita terlampau sensitif dengan cerita suami isteri yang suami curang isteri baik pastu isteri mati time bersalin anak, cerita yang ada kaitan dengan mak atau ayah yang super duper tragis. Tapi kali ni lain macam sikit. Lain macam mana? Haa.. tu yang kita tak tau tuu ye dak...? OK, kembali kepada cerita yang aku nak cerita ni. Kalau tak silap aku, orang tu penah cakap yang cerita ni adalah cerita benar yang diceritakan sendiri oleh orang berkenaan. Aku tak dapat pastikan betul atau tidak. So, aku malas nak taip panjang-panjang. Korang baca dan hayatilah setiap baris perkataan tu ok. Sebelum tu, KREDIT kepada empunya cerita dan penulis asal…. Sorry, aku ada olah sikit ayat kat dalam ni bagi tragis sikit lagi, hahahaha….



Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda dari aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.

Petang itu, pulang sahaja dari sekolah ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.

“Siapa ambil duit ayah?” tanya ayah bagai singa kelaparan.

Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu, cuma tunduk memandang lantai.

“Baik! Kalau tak mahu mengaku, dua-dua ayah rotan!” teriak ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakangku.

Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, “Saya yang ambil.”

Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh badan adik. Aku tergamam, lidahku kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tidak tumpah.

Setelah puas melihat tubuh adik terjelopok di lantai, ayah merungut.

“Kamu sudah mula pandai mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?”

Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.

Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar.

Adk segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata, “Jangan menangis kak, semuanya dah berlalu.”

Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik. Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.

Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata.

“Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali.” kata ayah kepada ibu.

“Tapi apalah maknanya bang...” balas ibu sambil teresak-esak.

“Di mana kita nak cari duit membiayai mereka?” sambung ibu lagi.

Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu.

“Ayah, saya tak mahu ke sekolah lagi.” kata adik.

Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelikatnya dan merenung wajah emak, kemudian wajah adik dalam-dalam.

PANGGG…!!! Sebuah penampar hinggap di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.

“Kenapa kamu ni? Tahu tak, kalau ayah terpaksa mengemis demi persekolahan kamu, ayah akan lakukannya!” teriak ayah kepada adik.

Malam itu, aku pergi ke bilik adik untuk menyapukan minyak ke pipinya.

“Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tidak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan.” kataku kepada adik sambil menyapu minyak angin pada pipinya yang bengkak.

“Kakak perempuan, biarlah kakak sahaja yang berhenti. Adik teruskanlah persekolahan adik.” tambahku lagi.

Adik hanya mendiamkan diri. Tiada satu perkataan pun yang terpancul dari mulutnya waktu itu. Pandangan tajam merenung ke arah dinding bilik. Sekali-sekala dia memandang wajahku dengan mata yang berlinangan.

Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada di biliknya. Dia membawa  bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata terdapat sehelai kertas yang tercatat...

Kak..
Untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah.
Saya akan mencari kerja dan akan mengirimkan wang untuk kakak.

Aku meraung setelah selesai membaca nota itu. Ayah bergegas masuk ke bilik adik. Ayah mencapai nota adik di tanganku. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga dengan emak yang menggunakan air matanya untuk memujuk ayah.

Suatu petang beberapa bulan kemudian ketika aku sedang berehat di dalam bilikku di asrama, teman sebilik ku datang menerpa.

“Hey, ada seorang pemuda kampung tunggu kau di luar.” kata temanku itu.

“ Pemuda kampung? Siapa?” tanyaku.

Tergesa-gesa aku keluar dari bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen.

“Kenapa sebut orang kampung? Cakaplah adik yang datang.” kataku kepada adik.

Sambil tersenyum adik menjawab, “Akak lihatlah pakaian adik ni. Nanti apa pula kata kawan-kawan akak kalau mereka tahu saya adik kakak?”

Jantungku terasa berhenti berdenyut tatkala mendengarkan jawapan adik. Aku cukup tersentuh. Tanpa aku sedari, air mataku mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.

Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, “ Akak tak peduli apa orang lain kata, adik tetap adik kakak.”

Dari kocek seluarnya, perlahan-lahan adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu. Dia mengenakannya pada rambutku sambil berkata, “Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk kakak.”

Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul tubuh adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat aku tahan lagi.

Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.

“Emak, tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik.” kataku kepada ibu.

“Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka.” balas ibu perlahan.

Aku menerpa ke bilik adik. Adik tersenyum melihatku pulang. Aku mendakap tubuh adik.

“Sakit ke?” aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.

“Tak... Kak tahu, semasa saya bekerja sebgai buruh pembinaan, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa.” jawab adik.

“Walaupun macam tu, kesakitan yang saya rasa itu tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras.” tambah adik lagi.

Apalagi, aku menangis seperti kebiasaannya selepas mendengar kata-katanya itu.

Bertahun-tahun berlalu. Aku berkahwin pada usiaku menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan. Pernah sekali suamiku menawarkan jawatan pengurus kepada adik. Namun adik menolak tawaran suamiku itu.

“Kalau adik terima jawatan itu, apa pula kata orang lain nanti?” kata adik kepadaku.

“Adik tidak berpelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada ini kak.” tambahnya lagi.

“Adik tak sekolah pun kerana akak.” kataku memujuknya.

“Kenapa sebut kisah lama kak?” katanya ringkas menyembunyikan kesedihannya.

Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruaca majlis bertanya kepada adik, “Siapakah orang yang paling anda sayangi?”

Dengan spontan adik menjawab, “Selain emak, kakak saya...” katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.

“Semasa sama-sama bersekolah rendah dahulu, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah. Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah, saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan kaki kakak calar balar.” cerita adik kepada juruacara.

“Sejak dari hari itu, saya berjanji kepada diri saya sendiri. Saya akan lakukan apa sahaja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila.” tambah adik lagi menyambung ceritanya.

Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin dan mendakap adik dengan seerat-eratnya sambil meraung bagaikan diserang histeria. Penderitaan yang adik lalui demi melihat diriku bahagia tidak mungkin dapat aku balas hingga ke akhir hayatku.

"Jika TAK DAPAT apa yang kita SUKA, belajarlah MENYUKAI apa yang kita DAPAT dan BERSYUKURLAH dengan apa yang kita ADA."
terlampau banyak rahsia, terlampau banyak cerita, hanya kita berdua sahaja yang mengetahuinya

2 comments:

Bea Yaya said...

kisah ni buat saya mengalir airmata...memang sedih sgt2...='(

cØjUnK™ said...

bley jgak ko nanges ek byah..

Related Posts with Thumbnails